Alhamdulillah, setelah melalui dan mematuhi pelbagai proses serta prosedur akhirnya pihak Kementerian Kesihatan mengeluarkan surat kelulusan bagi pengeluaran Minyak Morhabshi.Dengan itu juga minyak Morhabshi mulai sekarang sudah bebas dipasarkan di mana-mana dan ke mana-mana sahaja di seluruh dunia.
Sememangnya amat besar kesyukuran kami, khususnya saya sendiri. Sebelum ini Minyak Morhabshi dikeluarkan dan diedar 'secara sembunyi-sembunyi'. Pernah saya dipanggil oleh pihak kementerian dan diberi nasihat agar membuat pendaftaran produk secara sah.
Memang itu impian saya dan kini ia sudah menjadi realiti.
Bagi saya, cabaran baru sedang bermula. Impian saya ialah untuk melihat Minyak Morhabshi berada di setiap rumah di Malaysia.
Minyak Morhabshi bukan untuk bersaing dengan siapa-siapa ataupun mengambil alih peranan rawatan klinik atau menggantikan produk rawatan alternatif lain. Keunikan Minyak Morhabshi menjadikan ia wajar berada di setiap rumah atau premis untuk digunakan pada bila-bila masa, baik semasa kecemasan mahupun sebagai 'pendinding'.
Pendinding bukan bermaksud tangkal azimat. Pendinding berfungsi sama seperti dinding rumah yang menghalang tempias hujan, gangguan nyamuk atau sebarang pencerobohan asing.
Sebagai contoh, sapu pada perut dan dada bayi untuk mengelak kembung atau lelah. Atau, gunakan ketika lenguh, sakit gigi atau terluka.
Justeru saya langsung tidak berminat untuk menjadikan Minyak Morhabshi sebagai produk elit yang hanya mampu dibeli oleh golongan tertentu dan digunakan pada waktu tertentu sahaja. Minyak Morhabshi sewajarnya digunakan oleh semua golongan sebagai produk serbaguna.
Pendaftaran, kelulusan, dan pengiktirafan Kementerian Kesihatan yang kami terima sudah tentu memberi impak pada penampilan Minyak Morhabshi. Minyak Morhabshi selepas ini akan dikeluarkan secara besar-besaran oleh kilang yang bertaraf GMP dan memenuhi standard antarabangsa yang diperlukan warga global. Sebelum ini pun Minyak Morhabshi sudah memasuki Singapura, Brunei, Belanda, Jepun, dan Amerika melalui pesanan individu.
Insya-Allah kita akan pergi lebih jauh lagi dan Minyak Morhabshi akan bertindak sebagai salah satu agen bagi menarik wang asing ke Malaysia.
Insya-Allah pengurusan Morhabshi akan berada sebaris dengan pemain global yang akan menjelajah ke seluruh pelusuk dunia.
Barangkali impian tersebut terlalu tinggi tetapi ia bukan sesuatu yang mustahil.
Jumpa lagi.
0 Ulasan anda:
Post a Comment